Kandungan kimia yang berbahaya di dalam perfume tiruan yang membabitkan pelbagai jenama terkemuka boleh mengakibatkan kesan radang kulit selain kanser hati kepada pengguna.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kimia yang terkandung di dalam perfume tiruan mudah meresap masuk ke dalam tubuh melalui kulit.
“Kebiasaannya perfume akan disembur ke bahagian pergelangan tangan, leher dan badan. Semua ini adalah bahagian sensitif yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.
“Berdasarkan kajian perubatan yang telah dilakukan sebelum ini, cecair perfume tiruan boleh menyebabkan kesan rabun atau buta jika terkena tepat pada mata,” katanya.
Menurutnya, perfume tiruan turut didapati menjadi punca sesak nafas dan masalah pernafasan selain radang pada kulit.
“Semua ini berpunca kandungan kimia berat terutama methanol yang kerap diguna pakai di dalam produk tiruan ini.
“Kebiasaannya perfume tulen menggunakan kimia ethanol sebagai pelarut yang selamat dari sudut kesihatan selain kuantiti tidak berlebihan,” katanya,
Bagaimanapun kandungan methanol di dalam perfume palsu berubah menjadi formalin yang turut menjadi punca kanser hati.
“Biasanya methanol mampu memberi kesan dalam tempoh singkat antaranya pening, sakit kepala, mual, sakit perut dan gangguan penglihatan.
“Oleh itu elakkan daripada membeli perfume tiruan untuk mengelak penyakit berbahaya ini,” katanya.
Kredit : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/07/243410/semburan-maut