Perfume mempunyai tiga kitaran jangka hayat iaitu bermula dari semburan awal sehinggalah ia meninggalkan bau paling asas dalam formulanya.
Bagi bau yang terbit sebaik kita menekan punat botol perfume, ia lebih ringan dan bertahan antara 15 minit hingga dua jam.
Selalunya bau terawal perfume yang dihidu terdiri daripada bau bunga-bungaan, sitrus, buahan, bedak dan rempah.
Kemudian, bau not kedua menyusuli dan selalunya elemen terpenting dalam perfume. Sebaik not haruman awal pudar, not kedua terbit dan akan bertahan antara tiga hingga lima jam selepas disembur.
Ia selalunya bau bunga-bungaan, buah-buahan atau rempah yang lebih pekat.
Akhir sekali haruman not asas iaitu lebih pekat dan menarik perhatian serta mampu bertahan antara lima hingga 10 jam. Baunya terdiri daripada kayu gaharu, vanila, tar, kulit, tembakau atau musk.
Haruman memang subjektif dan mengikut cita rasa masing-masing. Namun bau paling ‘selamat’ untuk lelaki atau wanita adalah yang berasaskan bunga-bungaan ataupun buah-buahan. Bagaimanapun bagi yang berjiwa ‘kental’ atau lebih berkeyakinan biasanya memilih bauan yang kuat dan bersifat kayuan.
Kredit : https://www.hmetro.com.my/node/126812