Scroll Top
Dataran Austin Wakaf Tembesu, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Perfume Lambang Peribadi

perfume lambang peribadi

Haruman sebahagian daripada gaya peribadi dan ia mempunyai impak yang besar terhadap penampilan serta pandangan orang terhadap diri kita.

Semburan perfume yang sesuai bukan saja mampu membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik, tetapi juga boleh menghilangkan tekanan seharian selain membantu menjadikan diri lebih berkeyakinan.

Deria bau yang 150,000 kali lebih sensitif berbanding deria penglihatan boleh mewujudkan ikatan penuh emosi dengan orang lain.

Anda tentu pernah teringat kepada seseorang atau suatu memori indah secara tiba-tiba apabila terhidu bau tertentu.

Perfume ialah campuran kompleks beberapa bahan mentah yang diadun antara sumber semula jadi dan sintetik dengan kandungan berbeza sehingga menghasilkan bau tertentu.

Biarpun beberapa orang menggunakan perfume yang sama, tetapi bau haruman berkenaan tetap berbeza kerana ia akan bercampur dengan bau semula jadi tubuh seseorang.

Bagaimanapun, kadangkala kita berasa keliru mengenai perfume yang perlu dipilih kerana terdapat ratusan jenama perfume dalam botol cantik dengan beberapa jenis haruman di pasaran terdiri daripada Parfum, Eau De Parfum (EDP), Eau De Toilette (EDT) dan Eau De Cologne (EDC).

Berikut tujuh tip pemilihan perfume yang boleh dijadikan panduan bagi lelaki dan wanita untuk memilih perfume paling sesuai untuk mereka.

1. Diri anda sendiri penentu kepada jenis perfume yang sesuai kerana otak akan memproses bau dan sebarang perfume yang membuatkan diri kelihatan gembira dan tenang, adalah paling sesuai.

2. Jangan sesekali membiarkan orang lain membuat pilihan perfume untuk anda kerana akhirnya anda tidak akan menggunakannya kerana ia dirasakan tidak sesuai dengan selera.

3. Dapatkan seberapa banyak maklumat daripada orang sekeliling tetapi sekiranya lebih ramai yang memberikan pandangan negatif mengenai perfume yang dipilih, anda seharusnya mencuba sesuatu yang baru.

4. Jangan membeli secara membuta tuli ataupun melalui saranan orang lain, tanpa mencuba terlebih dulu. Cara terbaik memilih perfume sesuai dengan menguji sama ada ia serasi dengan bau badan semula jadi melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.

5. Maksimum perfume yang boleh dicuba pada satu-satu masa ialah empat supaya tidak tersilap memilih kerana terlalu banyak memproses bau. Jangan beli sehingga sudah membuat keputusan tepat.

6. Cuba perfume dengan menyemburnya pada lengan dan di bahagian dalam siku untuk mendapatkan bau serasi. Jangan mencuba bau yang disembur pada kertas kerana baunya tidak akan sama apabila ia disembur pada badan.

7. Ketika mencuba perfume, bau sesuatu yang kuat seperti kopi sebelum mencuba perfume lain bagi mengelak deria bau menjadi keliru dan hilang fokus.

Jenis Perfume

Masih tidak pasti jenis perfume mana yang sesuai dengan anda? Jangan susah hati. Berikut dihuraikan jenis perfume dan cara memilih haruman yang sesuai dengan aktiviti harian serta cita rasa masing-masing.

1. Parfum

Ia perfume yang paling kuat ada di pasaran kerana kepekatan perfume di dalamnya lebih tinggi iaitu antara 15 hingga 30 peratus, menjadikannya bertahan sehingga enam jam dan boleh dipakai dalam kuantiti yang sedikit.

2. Eau De Parfum (EDP)

Ia lebih ringan dengan kandungan kepekatan minyak antara lapan hingga 15 peratus dan mampu bertahan mengharumkan seseorang antara tiga ke lima jam.

Bagi yang menggunakan EDP, haruman itu memiliki kandungan antara empat hingga lapan peratus perfume dan mampu bertahan kira-kira dua hingga empat jam.

3. Eau De Toilette (EDT)

Jenis ini pula yang selalunya lebih dikenali sebagai cologne, ialah perfume paling ringan kerana hanya mempunyai kepekatan perfume antara tiga ke lima peratus dan boleh bertahan sehingga dua jam sebelum ia perlu disembur semula.

Kredit : https://www.hmetro.com.my/node/126812